Friday, August 5, 2011

Tazkirah Ramadhan 4 : Kelebihan ayat Kursi

Assalamualaikum wbt. Sejahtera ke atas kamu. Empat Ramadhan telah berlalu. Bagaimana puasa kalian? Semoga sentiasa terpelihara semuanya. Bukan saja penahanan diri daripada nafsu makan dan minum, tapi juga akal, mulut, tangan, kaki, dan hati. Mungkin sukar tapi sebolehnya dibuat.


Aku ada menyatakan dalam entri semalam bahawa aku akan bercerita lebih lanjut tentang fasa keempat akhir zaman tetapi aku tak merasakan bahawa aku perlu menceritakannya sekarang kerana aku tidak rasa ceritaku itu patut diletakkan dalam ruangan tazkirah sedangkan ianya hanya lah satu konspirasi. Maaf lah. Mungkin satu hari nanti aku akan bercerita tentang hal tersebut ( konspirasi Dajjal ) tetapi bukan dalam bulan Ramadhan ini kerana topik tersebut sememangnya memiliki banyak versi yg tersendiri.


Jadi, untuk hari ini, tazkirah Ramadhan yg keempat, aku hendak berkongsi tentang pahala dan syafaat yg bakal kita peroleh sekiranya kita mengamalkan bacaan Ayat Kursi. Tapi sebelum aku berkongsi tentang syafaatnya, cuba kita tanya diri kita kembali. Adakah kita benar benar faham maksud Ayat Kursi? Aku akui dan aku pasti kebanyakan daripada kita hanya menghafal ayat tersebut tanpa memahami maksudnya. Jadi di sini aku sertakan maksud ayat Kursi dan sejurus selepas itu baru aku akan nyatakan syafaat mengamalkan ayat Kursi. sama sama lah kita berkongsi pahala. :)






Maksud ayat Kursi :


Allah, tiada Tuhan ( yg berhak disembah ) melainkan Dia,
Yang tetap hidup,
Yang kekal selama lamanya mentadbirkan ( sekalian makhlukNya ),
Yang tidak mengantuk usahkan tidur,
Yang memiliki segala yang ada di langit dan bumi,
Tiada sesiapa yg dapat memberikan syafaat ( pertolongan ) di sisiNya melainkan dengan izinNya,
Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yg ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun daripada (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki ( memberitahu kepadaNya ),
Luasnya Kursi Allah ( ilmuNya dan kekuasaanNya ) meliputi langit dan bumi,
dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya,
Dan Dialah yang maha tinggi ( darjat kemuliaannya ), lagi maha besar ( kekuasaanNya ).


Semoga sama sama kita dapat menghafal maksud dan memahami maksud kepada ayat Kursi itu.


Kebiasaannya bila kah waktu yg sering akan kita gunakan untuk kita bacakan ayat Kursi ini? Kebiasaan yg sering dilakukan kita adalah seperti waktu sesudah solat dan sebelum tidur. Tetapi alangkah lebih baik kalau kita perbanyakkan bacaan ayat Kursi dalam setiap hari. Kita juga boleh membaca ayat Kursi jika kita ingin diterangkan hati dan dimudahkan untuk menjawab peperiksaan ( bagi seorang pelajar ) dan juga dibaca ketika kita marah untuk menjadi penawar marah kerana marah tiu datangnya daripada iblis laknatullah. Dan sekiranya kita ingin berhajatkan sesuatu, bacalah ayat Kursi sebanyak 170 kali, insyaAllah dimakbulkan Allah. Namun sebelum kita membaca ayat Kursi sebanyak 170 kali untuk berhajatkan sesuatu, lebih baik sekiranya kita menunaikan solat sunat hajat terlebih dahulu.


Dan berikut adalah syafaat yg akan kita peroleh sekiranya kita mengamalkan ayat Kursi dalam kehidupan seharian :


1. Rasulullah saw bersabda : Sesiapa yg pulang ke rumah dengan membaca ayat Kursi, Allah akan hilangkan segala kefakiran di depan matanya. 
2. Sesiapa yg membaca 12 kali ayat Kursi pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan bersembahyang dua rakaat, Allah akan memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar.
3. Ayat Kursi menjadi benteng yg kuat untuk menghalang pencuri daripada memasuki rumah.
4. Mengamalkan bacaan ayat Kursi ketika dalam perjalanan juga akan menjamin keselamatan.
5. Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk mampu membakar jin dan syaitan.
6. Barang siapa yg membaca ayat Kursi apabila berada di tempat tidurnya, Allah mewakilkan 2 orang malaikat yg akan menjaganya sehingga subuh.
7. Barang siapa yg membaca ayat Kursi pada setiap akhir solat, Allah akan memeliharanya sehingga masuk waktu solat yg lain.
8. Barang siapa yg membaca ayat Kursi pada setiap akhir solat, Allah akan mengurniakan padanya hati hati org yg bersyukur, perbuatan perbuatan org yg benar, dan juga pahala nabi nabi.
9. Barang siapa membaca ayat Kursi sebelum keluar rumah, Allah akan mengutus 70000 malaikat kepadanya, kesemuanya memohon keampunan dan mendoakan baginya.
10. Barang siapa yg membaca ayat Kursi di setiap akhir solat, Allah akan mengendalikan pengambilan rohnya  dan ia adalah seperti orang yg berperang bersama nabi Allah sehingga mati syahid.


Ada banyak lagi sebenarnya cuma aku nyatakan sepuluh sahaja. Cukuplah kita membuat tanggapan di sini bahawa pengamalan bacaan ayat Kursi memberikan syafaat yg besar kepada umat manusia itu sendiri. Aku pernah buat entri cerita pasal ayat Kursi telah menyelamatkan seorang perempuan daripada dirogol. Boleh rujuk sini. ( Kenapa bukan perempuan itu yang dirogol? )


Jadi daripada kita sibuk menghafal lagu lagu artis kegemaran, lagu lagu yg tengah top, lagu lagu yg masuk Billboard, yg takde bagi faedah pun, apa kata sama sama hafal maksud ayat Kursi tu dan memahaminya. Besar pahala. Untung bahagia. Muhasabah diri. Jaga peribadi. Assalamualaikum.

0 uberwords: